KOTA BHARU | Bakul Prihatin yang disumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diakui sedikit sebanyak meringankan beban penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, seramai 33 penduduk di kawasan Kampung Dusun, di sini menerima bakul prihatin, hari ini.
Katanya, dengan nilai RM100, ia mampu memberi kehidupan yang sedikit selesa buat rakyat yang terkesan dan kurang bekalan makanan di rumah.
“Kita sudah mengagihkan kira-kira 60 bakul prihatin dan program agihan ini akan berterusan sehingga mencapai sasaran lebih 700 bakul yang akan diterima untuk Parlimen Kota Bharu secara berperingkat.
“Buat masa ini kita masih cuba mengumpul data mengenai rakyat yang terkesan supaya bakul ini dapat segera dikongsikan kepada mereka. Kita juga tidak mahu ada rakyat yang tercicir daripada terima bantuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengagihkan Bakul Prihatin Negara kepada penduduk Kampung Dusun, di sini yang disertai Timbalan Ketua BERSATU Kota Bharu, Anuar Rajib dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Bahagian Kota Bharu, Mohd Ekhwan Mohd Hatta.
Pada program itu, Mohamed Farid turut menerima 100 borang keahlian baharu BERSATU Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ahli Majljs Pimpinan Tertinggi BERSATU, berharap semua rakyat akan terus menyokong kerajaan PN yang sentiasa mengambil berat kebajikan dengan memberi pelbagai bantuan.
“Kita harap penduduk dapat bersama dengan kerajaan PN dan akan terus memberi sokongan supaya kerajaan ini akan terus kukuh dan berpanjangan,” katanya.
Tamat