TANAH MERAH | Kelantan merekodkan satu kes varian Delta setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kewujudan varian Delta membabitkan kes dari Kluster di Pasir Puteh.
Katanya, pada masa yang sama, Kelantan juga merekodkan sebanyak 24 kes varian Beta.
“Kewujudan varian baharu di negeri ini amat membimbangkan kerana ia sudah berada dalam komuniti.
“Bagi varian Delta satu kes yang dikesan di Pasir Puteh dan terdapat 74 sampel lagi yang diambil serta dihantar ke makmal untuk diuji.
“Sampel berkenaan dijangka akan keluar keputusan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Outreach Imunisasi Covid-19 Kebangsaan du Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Bunga di sini, hari ini.
Dalam program dua hari bermula hari ini, seramai 400 individu akan menerima vaksin. Yang turut hadir, Adun Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kecik.
Beliau menasihatkan kepada semua masyarakat supaya berhati-hati dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana varian baharu ini seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi.