KOTA BHARU | Dua individu termasuk seorang wanita yang melanggar anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Gong Jering Selising, Pasir Puteh, kelmarin, ditahan polis selepas kejadian.
Kejadian jam 4.15 petang itu, mereka masing-masing lelaki berusia 18 tahun dan wanita berumur 17 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda ditahan polis.
Kejadian mereka yang merempuh SJR di PKPD tular di aplikasi whatsApp sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, ketika anggotanya sedang bertugas di SJR PKPD berkenaan, mereka didatangi sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Selising dan memasuki jalan ke Kampung Gong Jering.
Katanya, anggota bertugas mengarahkan supaya penunggang motosikal berhenti untuk pemeriksaan, namun lelaki itu memecut laju masuk ke dalam kawasan PKPD.
“Beberapa minit kemudian, mereka kelihatan berpatah balik dan merempuh SJR selain melanggar seorang anggota yang bertugas lokasi.
“Anggota berkenaan kemudian mengejar motosikal itu sebelum berjaya menahan dua individu berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, anggota bertugas cedera di lengan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Hasil siasatan, dua individu itu mendakwa dalam perjalanan dari Kok Lanas ke Melor dengan melalui SJR Gong Jering.
“Mereka juga mengaku tidak berhenti di SJR. Mereka mendakwa melalui SJR kerana tidak menemui jalan menuju ke Melor sebelum berpatah balik untuk keluar dari kawasan PKPD.
Katanya, polis merampas motosikal yang dinaiki mereka.
Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.