by Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Seramai 92 pesakit COVID-19 meninggal dunia hari ini melibatkan seramai 90 warganegara Malaysia, manakala dua lagi warga asing.
Jumlah itu berkurangan berbanding semalam yang mencatat 184 kematian dengan 157 warga negara dan 27 warga asing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes kematian hari ini, 27 kes dilaporkan di Selangor, Johor (23), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (11), Melaka (lima), Kedah (empat), Pahang (tiga), masing-masing dua kes di Sabah dan Sarawak, manakala satu kes masing-masing di Perak, Terengganu dan Labuan.
“Hari ini terdapat 34 kluster baharu iaitu 18 kluster membabitkan tempat kerja, 15 dalam kalangan komuniti serta satu dalam kumpulan berisiko tinggi.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 9,683 kes sembuh dilaporkan menjadikan angka kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ialah 844,541 kes.
“Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini sudah melebihi sejuta kes dengan pertambahan sebanyak 17,045 kes hari ini dengan jumlah kumulatif kes di negara kini adalah 1,013,438 kes,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.