JOHOR BAHRU | Susulan tular beberapa keping gambar lori Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) digunakan oleh seorang ahli politik, MBJB membuat keputusan untuk menghentikan segala pengunaan asetnya serta-merta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan aset miliknya digunakan untuk program politik.
“MBJB ambil maklum aduan yang disampaikan orang ramai berhubung kejadian tersebut.
“Untuk makluman MBJB tidak pernah membenarkan mana-mana pihak menggunakan aset milik majlis dalam sebarang kegiatan berkaitan politik,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, perkara itu termasuk menggunakan lambang parti politik pada aset majlis atau lain-lain perkara berkaitan agenda atau kepentingan politik yang jelas bertentangan dengan dasar ditetapkan MBJB,” kata kenyataan itu.
Semalam, tular dalam media sosial beberapa keping gambar menunjukkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menggunakan lori milik MBJB untuk menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada golongan memerlukan dengan turut memaparkan bendera Barisan Nasional (BN).
Yahya bagaimanapun mengeluarkan kenyataan mengakui kesalahan beliau serta memberitahu sebab menggunakan lori berkenaan adalah kerana jumlah barangan yang disumbangkan adalah besar dan di luar kapasiti pasukannya