KUALA LUMPUR | PAS telah mengeluarkan memorandum ringkas pada 28 Jun lalu kepada kabinet Malaysia untuk mengatasi masalah doktor kontrak bagi pelan jangka pendek dan panjang.
Pengerusi Lajnah PAS Pusat, Prof Madya Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, untuk mengatasi masalah doktor kontrak bagi jangka panjang ia memerlukan perancangan yang rapi kerana ia akan memberi impak yang besar kepada negara.
Katanya, tidak boleh dilakukan atas dasar sentimen atau emosi.
“Perlu juga dilakukan secara menyeluruh kerana beban penggajian akan meningkat melebihi RM2 billion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setiap tahun dengan pengambilan semua graduan perubatan seramai 5000 orang yang dihasilkan negara setiap tahun.
“Namun, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin di atas pengumuman rasmi kerajaan pada 23hb Julai 2021.
“Kenyataan tersebut telah menyatakan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara. Komitmen yang tidak pernah dilakukan oleh kedua-dua kerajaan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Mohd Mazri berkata, Perdana Menteri telah memenuhi hampir semua persoalan doktor kontrak tersebut samada penyambungan tempoh kontrak, komitmen penerusan bagi yang menyambung kepakaran sehingga tamat, Hadiah Latihan Persekutuan dengan gaji dan cuti yang setara dengan doktor berjawatan tetap.
“Akhirnya pengumuman Perdana Menteri tersebut telah merapatkan jurang di antara doktor kontrak dan doktor tetap dan yang berbeza hanya pada namanya sahaja.
“Justeru, PAS merasakan tiada lagi keperluan untuk Gabungan Doktor Kontrak meneruskan niat ‘HARTAL’ mereka apabila semua permintaan tersebut dipenuhi dan jaminan dan komitmen untuk merubah sistem kesihatan telah diberi,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah masa untuk bersama di dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin kritikal dan masa yang terbaik untuk beri pandangan dalam mereformasi perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
“Ini bukan masanya untuk kita ‘berHARTAL’,” katanya.