PUTRAJAYA | Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan RM230 juta bagi pelaksanaan produk baharu dalam Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi (TMPSKM).
Peruntukan itu diberi menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan itu dapat memberi manfaat kepada 14,629 koperasi dengan keahlian hampir 6.5 juta orang.
“Terdapat lima produk antaranya Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) dan Pembiayaan Pembayar Yang Baik (GPMFi-1).
“Pelaksanaan produk baharu ini mengikut sasaran koperasi yang berbeza seperti MicCoopFi-1, ia menyediakan kemudahan pembiayaan mudah kepada koperasi bagi kluster Mikro (perolehan tahunan kurang RM200,000) untuk menjalankan aktiviti baharu atau modal pusingan bagi aktiviti sedia ada.
“Bagi pembiayaan LesFi-1, ia menyediakan kemudahan pembiayaan dalam bentuk modal pusingan bagi koperasi terpilih bawah Program Desa Lestari bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembiayaan SuFi-1 yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi baharu bagi membiayai projek berdaya maju.
Katanya, bagi produk Best100Fi-1 pula, ia akan menyediakan insentif pembiayaan kepada 100 Koperasi Terbaik Tahun 2020 manakala bagi produk terakhir iaitu GPMFi-1, ia menyediakan insentif pembiayaan kepada koperasi yang mempunyai rekod pembiayaan yang baik dengan SKM.
“Saya harap dengan pelaksanaan produk baharu itu ia mampu koperasi dalam membiayai projek berdaya maju daripada kluster mikro sehinggalah kluster besar mendapat manfaat daripada dana TMPSKM yang disediakan oleh kerajaan.
“Individu yang ingin mendapatkan khidmat nasihat atau rundingan boleh hubungi MEDAC di talian 1-300-88-1020 atau e-melkan kepada korporat@medac.gov.my atau SKM di talian 011-14736471,” katanya.