Oleh Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sentiasa komited dan proaktif dalam mencungkil, mengasah serta memfasilitasi bakat baru dalam kalangan penggiat muda industri kreatif.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjalankan kerjasama itu.
Katanya, beliau bertemu secara maya dengan para penggiat filem muda yang terdiri daripada barisan pengarah dan penulis skrip yang juga merupakan penerima Dana Kandungan Digital (DKD) #PRISMA sebelum ini.
“Dengan dana DKD, mereka telah menghasilkan pelbagai karya seperti supertele ‘Cikgu vs Hantu’, ‘Telekinesis’, ‘Bangkit Pandemik’ dan menghasilkan karya etnik seperti ‘Pulai Meh-Baliklah’ dan ‘Rumah Nda Bertanah’.
“Pelbagai cadangan, buah fikiran dan maklum balas telah dikongsikan bersama dalam sesi ini.
“Kategori Filem Kenegaraan dalam DKD juga diperkenalkan bagi menyokong dan menggalakkan syarikat produksi tempatan untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak filem berunsur identiti kenegaraan dan kebudayaan tempatan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Terdahulu, FINAS juga telah melaksanakan Pelan Langkah Segera Industri Kreatif #PELAKSANA bagi membantu penggiat industri dalam mendepani impak pendemik COVID-19.
Beliau berkata, secara ringkasnya, Filem Kenegaraan ialah filem cereka yang memaparkan secara kreatif visi, konsep dan cerita yang membentuk semangat cintakan diri dan negara melalui nilai murni seperti patriotisma, budaya dan perpaduan masyarakat.
Katanya, skop tema barunya pula diklasifikasikan kepada dua iaitu ‘Peristiwa’ yang mengisahkan perihal peristiwa penting dan tokoh ikonik dalam sejarah negara serta ‘Sastera’, adaptasi kreatif dari pelbagai karya sastera yang mengangkat nilai-nilai patriotism dan cintakan tanah air.
“Sehingga kini, inisiatif PRISMA berupaya memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif dan mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM89.2 juta,” katanya.