By IDIHAYS. SB
KUALA LUMPUR | Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) yang baru diwujud bertujuan memudahkan lagi pengurusan jenazah pesakit COVID-19 dilakukan lebih teratur, sempurna dan bersesuaian situasi semasa.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, bagi memenuhi tuntutan tersebut, waris jenazah akan diminta memberi kebenaran mengutamakan urusan pengkebumian di tanah perkuburan telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau berkata, pertimbangan itu bertujuan untuk memudahkan waris jenazah mangsa COVID-19 menyegerakan proses pengkebumian tanpa ada kekangan dan kemudahannya sudapun tersedia termasuk petugas yang menguruskannya secara berjadual.
“Keperluannya ialah keluarga jenazah COVID-19 perlu izinkan proses (pengkebumian) itu dibuat di dua tanah perkuburan yang telah ditetapkan iaitu di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
“Tapi, kalau ada mana-mana waris mahu proses pengkebumian di tanah perkuburan lain, perkara itu dirunding dengan pihak pengurusan kerana ia mungkin ada kekangan tertentu dan pasti akan melambatkan proses. Dalam keadaan sekarang, adalah baiknya dikebumikan di tanah perkuburan yang ditetapkan bagi mengelak kluster di tempat pengkebumian,” katanya.
Annuar berkata demikian di dalam sidang media selepas taklimat dan meninjau operasi PUSUM oleh petugas di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kasim dan Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Nordin Pauzi,
Turut serta di lokasi, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah HKL, Dr Rohana Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.
Menuruz Annuar, untuk memudahkan operasi PASUM, urusan logistik akan dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan sokongan dari beberapa agensi dan sukarelawan akan melicinkan lagi operasi pusat itu termasuk penglibatan JAWI dalam urusan jenazah Islam secara berjadual.
Katanya,, kerajaan juga akan menambah satu lagi perkhidmatan memudahkan waris mendapatkan bantuan tunai RM5,000 daripada NADMA.
“Bantuan segera itu untuk belanja pengurusan jenazah dan akan diberi secara one stop supaya tidak timbul masalah yang berpanjangan.
“Untuk tujuan itu, NADMA akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan YWP untuk proses tersebut,” katanya.
HABIS.. //