Oleh Nik Amir
KOTA BHARU | Ketua Jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini jelas tidak berpuas hati dengan persembahan buruk pasukannya ketika bertemu Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Sabtu.
Meskipun menang 2-1, namun Kelantan FC nyaris diaibkan pelawat sehingga terpaksa menunggu dua gol hasil tandukan Christos Intzidis dan Ismail Ibrahim, pada minit ke-82 dan 90 untuk memadamkan defisit gol awal pelawat.
Skuad Projek FAM-MSN terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi penyerang prolifik, Azhad Harraz Arman pada minit ke-55.
“Tidak ada apa-apa (cerita menarik) mengenai cara kita bermain, yang (perkara) positif hanyalah tiga mata (menang)…selebihnya semua adalah negatif.
“Tentang perlawanan ini, kita beraksi sangat teruk, banyak kesilapan…kesilapan individu dan juga kesilapan taktikal,” katanya yang hanya bercakap kurang empat minit dalam sidang media pasca perlawanan.
Pengendali dari San Marino itu memberitahu, sebelum bertemu skuad kendalian Yusri Che Lah, dia melakukan persediaan dengan merencana dua corak permainan yang berbeza namun dikecewakan dengan situasi luar jangkaan pada pertemuan itu.
“Apabila kita bermula, baharu sahaja 10 minit perlawanan ada pemain cedera, selepas 25 minit ada lagi pemain cedera dan saya terus hilang pemain lagi,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah nyata hampa ketika pasukannya hampir berpeluang menamatkan kemarau kemenangan dalam 11 perlawanan lalu, pada aksi tersebut.
“Saya faham sukar untuk diterima dua gol (dijaringkan Kelantan FC) itu dalam minit-minit terakhir, (kerana) kami hadir dengan satu reputasi yang bukanlah tewas dengan cara sebegini.
“Kalau ikutkan dalam 90 minit, saya rasa semua orang setuju perlawanan ini seimbang walaupun babak pertama dikuasai Kelantan FC tetapi babak kedua kita berjaya menyerap tekanan dan hasilnya dapat menjaringkan gol,” katanya.
Jelasnya, tuan rumah bagaimanapun bijak memanfaatkan dua set piece apabila berjaya menjaringkan gol menerusi situasi itu, pada lewat permainan.
“Kelekaan kita sebenarnya ketika mereka menjaringkan gol pertama tanpa ada saingan ke atas pemain lawan dan begitu juga gol kedua, set piece mereka begitu menjadi.
“Daripada awal kita dapat mempertahankan (kedudukan 1-0) tapi inilah bola sepak, kita akan berusaha lagi selepas ini,” tambahnya.