IPOH | Pulau Pangkor dipilih menjadi sebahagian daripada projek rintis bagi Program Covid-19 Free Destination dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan seperti yang digariskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Pulau Pangkor bakal mencapai sasaran 80 peratus tahap imuniti kelompok menjelang awal bulan September tahun ini.
Katanya, program di Pulau Pangkor melibatkan kerjasama antara Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Manjung serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)
“Bagi mencapai hasrat tersebut, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak untuk terima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 penduduk.
“Setakat 11 Julai, seramai 1,002 orang telah menerima suntikan dos pertaman manakala 1,056 telah lengkap dos kedua. Manakala seramai 5,968 orang masih belum menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Nancy berkata, PKD Manjung telah memulakan program outreach tiga hari seminggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) bagi tempoh lapan minggu berturut-turut. Ia bermula 16 Julai lalu dengan sasaran kapasiti seramai 540 orang sehari.
“Berdasarkan rekod Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Manjung, pemberian dos pertama dijangka selesai pada 8 Ogos dan akan disusuli dos kedua 13 Ogos.
“Pejabat MOTAC Perak turut menghantar empat kakitangan sebagai sukarelawan bukan kesihatan untuk tempoh dua minggu. Selepas ini seramai 25 orang sukarelawan telah dicadangkan untuk membantu program outreach ini,” katanya.
Beliau berkata, MOTAC juga bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (PERTEKMA) cawangan Pulau Pangkor bagi memudahkan urusan pergerakan keluar penduduk menerima vaksin.
“Kempen Promosi Rindu Melancong? Jom Vaksin Dulu! turut giat dijalankan oleh Tourism Malaysia bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.