KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan ujian ‘Covid Neutralizing Antibody Test’ adalah diluar bidang kuasa pihaknya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebarang kesulitan atau persoalan yang timbul berhubung perkara tersebut adalah dikesali.
“PDRM komited menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan akan mengambil langkah selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“(Dan) pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) dalam proses memastikan perkhidmatan vaksinasi terbaik disampaikan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Journal Malaysia melaporkan penerima vaksin Covid-19 yang mengesyaki mereka menerima suntikan vaksin kosong, boleh membuat laporan polis di balai berdekatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan tersebut.
Katanya, bagi penerima yang merasa gelisah dan terpedaya, mereka boleh membuat ujian ‘Covid neutralizing antibody test’ di makmal perubatan yang berlesen 30 hari selepas suntikan dos kedua.