By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Beberapa kawasan di Kelantan, Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD selama 14 hari dari 28 Julai hingga 10 Ogos depan membabitkan 12 lokaliti.
“Terdapat lapan lokasi di Sabah yang terbabit PKPD iaitu Kampung Kauran, Keningau; tiga perkampungan di Sipitang membabitkan Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipitang; Kampung Mostyn Lama, Kunak; Perumahan Ladang Pontian Kuril, Kinabatangan; Taman Kinarut Ria, Papar dan Kampung Tawadakan, Kota Belud.
“Bagi Kelantan pula membabitkan Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang, manakala di Pahang pula di Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland, Genting Highlands, Bentong dan Kampung Pagar Batu 6, Penjom, Lipis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menteri Pertahanan itu berkata, PKPD yang sedang dilaksanakan di Felda Maokil, Muar, Johor, kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah (Kampung Patikang Ulu, Kilang dan Kuarters Focus Lumber, Kilang dan Kuarters Veracity, Kilang dan Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia) serta Kampung Madsiang, Penampang, Sabah dilanjutkan sehingga 10 Ogos depan.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.
Tamat