By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka 20 kaunter baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapan lagi di KLIA 2.
JIM menerusi laman Facebooknya memaklumkan semua kaunter dijangka mula beroperasi mulai pada 28 Julai ini.
Katanya, JIM sentiasa mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Jabatan ini sentiasa berusaha untuk memudahkan lagi pelaksanaan program ini. Justeru, 20 kaunter baru sedang dalam pembinaan di KLIA dan 8 lagi di KLIA 2.
“Kerja-kerja pembinaan kaunter tambahan Program Rekalibrasi Pulang PATI di Short Term Car Park KLIA dan di KLIA2 sedang giat dijalankan.
“Apabila kaunter-kaunter tambahan ini mula beroperasi dijangka dapat mengatasi kesesakan ruang menunggu giliran Program Rekalibrasi Pulang PATI di KLIA,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
JIM menasihatkan semua warga asing yang menyertai program ini supaya hadir 6 jam sebelum waktu penerbangan bersama dokumen yang lengkap bagi mengelakkan kesesakan.
Katanya, mereka yang menaiki penerbangan pada hari berkenaan sahaja atau penerbangan hari esoknya, dibenarkan hadir.