KUALA LUMPUR | Seramai 438 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi Task Force operasi pematuhan, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 434 individu dikompaun manakala empat lagi direman.
Katanya, menerusi operasi yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 74,561 pemeriksaan.
“Pasukan Task Force operasi pematuhan turut melaksanakan pemeriksaan terhadap 1,819 kilang, 13,797 premis perniagaan, 702 tapak pembinaan dan 198 asrama pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan 4,224 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 18,894 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.