TEHRAN | Kes baharu jangkitan COVID-19 di Iran buat pertama kalinya melepasi angka 30,000 hari ini, menjadikan ia rekod kedua tertinggi pada minggu ini, menurut Kementerian Kesihatan.
Pada tempoh 24 jam lalu, republik itu merekodkan sebanyak 31,814 kes jangkitan baharu, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif di negara ini 3,723,246 kes.
Sebanyak 322 lagi kes kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 89,122 kes.
Kali pertama Iran mencatatkan rekod kes jangkitan harian tertinggi ialah pada Selasa lalu, dengan 27,444 kes.
Susulan keadaan itu, pasukan petugas nasional yang ditubuhkan untuk menguruskan hal berkaitan pandemik itu bertindak menutup pejabat kerajaan dan bank di Tehran serta berhampiran wilayah Alborz untuk beberapa hari.
Langkah ketat yang kali pertama diumumkan kerajaan sejak pandemik itu bermula berakhir pagi tadi.
Setakat ini, Iran cuba mengelak untuk mengenakan sekatan pergerakan penuh seluruh negara dengan menguatkuasakan beberapa langkah seperti menggantung sementara aktiviti pengembaraan dan perniagaan.
Pihak berkuasa sebelum ini pernah mengakui bahawa angka rasmi kes positif COVID-19 di republik itu tidak menggambarkan situasi sebenar pandemik.
Bagaimanapun, ia masih meletakkan Iran sebagai negara paling teruk terjejas di Asia Barat, memetik Berita Harian.
Awal bulan ini, bekas Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberi amaran mengenai gelombang kelima jangkitan yang berpunca daripada varian Delta yang lebih cepat menular.
Iran meletakkan satu-satunya harapan terhadap program vaksinasi untuk membantu menangani krisis kesihatan tetapi kempen inokulasi sejak awal Februari lalu bergerak perlahan seperti yang dirancang pihak berkuasa.
Menurut Kementerian Kesihatan Iran hari ini, lebih 8.1 juta rakyat negara ini sudah menerima suntikan dos pertama vaksin dan 2.4 juta orang lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19. – AFP