KUALA LUMPUR | Pembangkang seperti tiada niat atau rancangan untuk tolong rakyat, sebaliknya mereka hanya tahu menjerit menganggu usaha kerajaan membantu rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, belum sampai satu jam Dewan Rakyat bersidang, perangai sebenar ahli parlimen pembangkang sudah terserlah.
“Kita jangan lupa, dulu semasa Pakatan Harapan (PH) pegang kerajaan, mereka potong atau hapuskan banyak bantuan. Bila rakyat minta, mereka kata kerajaan tak ada duit.
“Ingat lagi RM30 yang PH bagi? Masa kerajaan banyak duit, dia bagi RM30. Masa kewangan kerajaan terhad sekarang ni, agaknya berapa yang dia nak bagi? RM30 lagi?
“Lebih buruk, apabila kerajaan sekarang nak bentangkan dalam Parlimen rancangan penuh untuk bantu rakyat, mereka cuba sedaya upaya untuk ganggu,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya, itulah wajah sebenar pembangkang yang hanya tahu menjerit dan meloncat macam kera dapat bunga.
Katanya, alangkah baiknya kalau peluang sidang Parlimen khas ini digunakan dengan baik untuk mendengar pembentangan kerajaan dan kemudian memberi cadangan tambahan untuk kebaikan rakyat.
“Kerajaan sudah buka pintu untuk pembangkang menyumbang dengan membuka sidang parlimen.
“Kerajaan juga setuju lantik pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara, malah peruntukan bantu rakyat pun kerajaan dah bagi kepada pembangkang.
“Kalau semua ini disambut dengan baik dan PH tunjuk kesediaan bekerjasama dengan kerajaan, manfaatnya untuk rakyat juga nanti.
“Masa untuk bersaing akan sampai nanti. Sekarang bukan masanya,” katanya.
Tamat