By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Tindakan pihak tertentu yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri daripada jawatan itu lebih kepada agenda politik.
Pengerusi Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahawan-Usahawan Malaysia cawangan Kelantan (DPPUMK), Datuk Seri Ab Kadir Mahmood berkata, adalah tidak munasabah bagi mendesak Perdana Menteri untuk mengundurkan diri kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih diyakini rakyat.
Malah katanya, sepatutnya tumpuan sekarang adalah untuk bersama-sama kerajaan menangani penularan kes harian Covid 19 yang masih meningkat dan memulihkan ekonomi negara.
Katanya, jika ingin menjadikan alasan kegagalan kerajaan menangani peningkatan kes harian tinggi Covid 19 di negara ini, ia tidak logik sama sekali.
“Kerajaan PN melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam menangani pandemik Covid 19 dan menyediakan pakej bantuan yang besar untuk membantu golongan yang terjejas.
“Tidak logik untuk menyalahkan kerajaan atas peningkatan kes harian Covid 19 sehingga ada pihak tertentu yang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri daripada jawatan Perdana Menteri,” katanya kepada Journal Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang mendesak Perdana Menteri supaya mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.
Beliau menegaskan, pandemik Covid 19 bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di negara lain.
Katanya, sepatutnya semua pihak bersama-sama kerajaan dalam menangani penularan kes covid 19 yang masih meningkat termasuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan.
“Tumpuan sekarang adalah kita semua bersama-sama kerajaan melandaikan penularan covid 19 dan bukannya cari salah kerajaan atas peningkatan kes berkenaan.
“Dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid 19, kerajaan turut melaksanakan persidangan khas Parlimen bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen membahaskan isu yang menyentuh kepentingan rakyat,” katanya.