Oleh Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Doktor kontrak di Kelantan tidak melancarkan Hartal (demonstrasi) Doktor Kontrak berikutan sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) terlebih dahulu.
Tinjauan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati tidak ada Hartal Doktor Kontrak di Kelantan, malah mereka meneruskan tugas seperti biasa.
Kelihatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perkarangan hospital bagi menjaga kawalan keselamatan untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Hartal Doktor Kontrak tidak berlaku di negeri ini memandangkan pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan mereka terlebih dahulu.
Katanya, hasil perbincangan itu, pegawai-pegawai perubatan kontrak di negeri ini memahaminya.
“Terdapat seramai 472 doktor kontrak di Kelantan dan satu pertiga daripadanya bertugas di hospital, manakala dua pertiga lagi ditugaskan di pejabat kesihatan.
“Setakat ini, pegawai perubatan kontrak tidak mempunyai cadangan untuk mengadakan mogok seperti yang diperkatakan sebelum ini.
“Ini kerana, mereka tidak akan meninggalkan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan dengan mereka.
“Saya yakin doktor ini akan melakukan yang terbaik untuk merawat pesakit di hospital dan fasiliti kesihatan dalam situasi terkini,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, sebagai seorang doktor, mereka mempunyai prinsip apabila mengutamakan pesakit demi keselamatan mereka.
Katanya, mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dengan tidak melanggar etika sebagai seorang doktor atau pegawai perubatan.
Media sebelum ini melaporkan, Hartal Doktor Kontrak, yang dianggarkan berjumlah 23,000 orang, mencetus kebimbangan berikutan jumlah pesakit COVID-19 melonjak tinggi ketika ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.