KUALA LUMPUR | Kerajaan atau pihak berkuasa diharap tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang dan tatatertib terhadap Hartal (Demontrasi) Doktor Kontrak yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan mereka itu.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), berkata pihaknya juga tidak setuju dengan tindakan dilakukan oleh sekumpulan pegawai perubatan kontrak itu kerana khuatir boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan ketika ini.
Katanya, masih terdapat cara lain yang boleh dilakukan daripada bertindak melakukan aktiviti berkumpul tersebut, namun CUEPACS tetap menghormati suara yang dibawa mereka supaya masalah dapat diselesaikan kerajaan.
“CUEPACS difahamkan tindakan ‘demonstrasi’ tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti.
“Namun, berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.
“Pada masa sama, CUEPACS berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak ini berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berikan satu ‘time frame’ yang jelas terhadap usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan melalui pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, ketika ini terdapat doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk laksana kerja pentadbiran dan kewangan sedangkan kepakaran mereka adalah di bahagian perubatan serta perkhidmatan kesihatan.
“Pada masa sama, doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan perlu terus komited berkhidmat di sektor kerajaan setelah menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kerajaan telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membiayai yuran pengajian dan adalah tidak wajar sekiranya mereka ini menjadikan sektor kerajaan sebagai transit atau batu loncatan untuk ke sektor swasta setelah bergelar pakar,” katanya.
CUEPACS berharap kerajaan dapat membuka ruang untuk doktor ini boleh melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana intitusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus boleh menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja.
“Dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung bidang kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan.
“Disebabkan dasar itulah ada desakan untuk doktor muda ini mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar.
“Dasar ini bolehlah diubah sebagaimana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang boleh sambung belajar tanpa melalui Kementerian Kesihatan.
“Hospital swasta juga boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan bagi doktor-doktor muda ini menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan kepakaran mereka juga diperlukan oleh hospital swasta,” katanya.
Tamat