KUALA LUMPUR | Usaha tanpa henti dan tidak berbelah bahagi oleh barisan hadapan sahaja tidak mencukupi untuk membebaskan negara daripada pandemik Covid-19 yang kian membimbangkan.
Sebaliknya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyifatkan tindakan setiap ahli komuniti dan masyarakat awam secara keseluruhannya adalah sama penting dalam menangani pandemik ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, SUHAKAM memaklumkan peningkatan kes ketika ini bukan hanya disebabkan kemunculan varian Delta, sebaliknya berpunca daripada mereka yang sengaja mengabaikan prosedur operasi standard (SOP), meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan masih dilaksanakan.
“Penting untuk setiap orang, tidak kira kewarganegaraan atau status imigresen untuk mematuhi SOP termasuk mengelakkan perhimpunan secara besar-besaran, kontak rapat di ruangan tertutup atau perjalanan merentas negeri, bagi menghalang jangkitan daripada terus merebak.
“Sementara usaha diteruskan untuk menangani pandemik ini dilakukan oleh pelbagai pihak, semua sokongan sewajarnya perlu diberikan kepada barisan hadapan dan keluarga mereka, seperti pekerja penjagaan kesihatan, agensi penguatkuasaaan, pekerja kontrak dan sukarelawan, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka dijaga dengan baik,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan barisan hadapan perlu dibekalkan dengan kelengkapan pelindung diri (PPE), peralatan perlu dan manfaat lain dengan mengambil kira risiko yang dihadapi setiap hari.
SUHAKAM memuji usaha Kerajaan dengan peningkatan ujian dan saringan serta kejayaan dalam meningkatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan hampir setengah juta dos diberikan setiap hari pada masa ini.
Pada 23 Julai 2021, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah mengumumkan bahawa 71.9 peratus golongan berumur 18 tahun ke atas yang menetap di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, yang menyumbang kepada separuh daripada kes positif setiap hari, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“SUHAKAM mengulangi seruan agar Kerajaan menegakkan prinsip ‘Tiada Sesiapa yang Ketinggalan’, dengan memastikan pelarian dan migran tanpa dokumen dimasukkan ke dalam program immunisasi kebangsaan dan mengelakkan daripada mereka diancam dengan hukuman semasa mengambil vaksin.
“Sehingga imuniti berkelompok dapat dicapai di seluruh negara, SUHAKAM ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan SOP yang telah menjadi amalan biasa kita semua,” katanya.
SUHAKAM berharap agar Kementerian yang berkaitan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyediakan bantuan segera dan perancangan awal bagi membangunkan semula industri kecil dan sederhana yang telah mengalami kerugian besar akibat daripada pandemik ini.
Tamat