KUALA LUMPUR | Kerajaan Arab Saudi bersetuju menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz.
“Saya baru sahaja berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Duli Yang Amat Mulia Mohammad Salman.
“Setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Putera Mahkota memakluman kepada saya bahawa
Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman sendiri telah menitahkan supaya King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
“Ini satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, bagi pihak kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat Baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad Salman dan kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini.
“Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan sekali gus memastikan Titah Baginda Raja Salman ini berjalan lancar,” katanya.