KUALA LUMPUR | Kerajaan telah meluluskan cadangan perolehan 16 unit dron jenis ‘Vertical Take Off and Landing’ (VTOL) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah projek perolehan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12).
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata, perolehan tersebut dibuat dengan unjuran siling projek bernilai RM48 juta.
Katanya, unjuran siling ini adalah anggaran berdasarkan kepada kajian harga pasaran untuk dron berspesifikasi terkini yang sesuai bagi penugasan taktikal serta pemantauan PDRM.
“Dron yang akan diperolehi adalah jenis ‘electric drone’ (menggunakan kuasa bateri) berkuasa tinggi dan akan dilengkapi dengan ‘gyro stabilized camera’ (electro optical infra red) yang boleh membuat penerbangan dan rakaman visual resolusi tinggi (foto, video dan live streaming) pada waktu siang serta malam.
“Selain itu, bagi setiap unit dron yang diperoleh, pakej juga merangkumi Mobile Ground Station Vehicle yang dilengkapi dengan pengesan Turret sistem antena, stesen cuaca dan sistem satelit navigasi global mudah alih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua dron berkenaan akan digunakan bagi penugasan melibatkan pemantauan serta membanteras ancaman di kawasan sempadan negara.
Katanya, ia adalah usaha PDRM dalam menangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“PDRM menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan pasukan memiliki aset dan kelengkapan terkini bagi memantapkan lagi penugasan agar keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.