KUALA LUMPUR | Keluarga B40 yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalani kuarantin
Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCs) berbayar.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada masa ini mereka yang di dapati positif Covid-19 tetapi tidak bergejala (kategori 1) atau bergejala ringan (kategori 2) adalah di kehendaki untuk membuat kuarantin kendiri di rumah masing masing.
Namun katanya, bagi yang tinggal di PPR dan PA DBKL tidak sesuai menjalani kuarantin di rumah kerana sempit dan sesak.
“Setelah berbincang dengan pelbagai agensi yang berkaitan semasa mesyuarat Pusat Penyelasaran dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif bagi kategori 1 dan 2 ke beberapa hotel yang dikhususkan sebagai PKRCS khas.
“Perkara ini dibuat bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan keluarga. 4 PKRCS khas di WP Kuala Lumpur yang terlibat adalah Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay; International Youth Center, Bandar Tun Razak, Cheras; Tamu Hotel Kampong Bharu dan Hotel Travelodge City Centre, di sini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Annuar yang juga pengerusi CCMC-WP berkata, operasi memindahkan kira-kira seribu orang golongan terbabit bermula pada hari ini.
Katanya, pemindahan itu mendapat kerjasama Covid Assessment Centre (CAC), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi jabatan kerajaan yang berkaitan.
“Kementerian juga sedang berusaha untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pusat rawatan Covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kuarantin kendiri.
“Tindakan ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes Covid-19 berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.