BACHOK | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disaran meletakkan kapal induk di kawasan sempadan perairan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan asing yang didakwa semakin kerap mencuri hasil laut.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd Saripudin Ishak, berkata keadaan itu menyebabkan hasil laut di kawasan Malaysia semakin berkurangan sehingga menjejaskan tangkapan nelayan tempatan.
Beliau berkata, dengan adanya kapal induk itu, Maritim Malaysia boleh melihat sendiri kekerapan pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara, bukannya hanya sekadar menerima laporan atau aduan saja.
“Kami sebagai nelayan yang sering turun ke laut sentiasa melihat pencerobohan nelayan asing yang semakin berleluasa. Memang betul aduan sudah dibuat namun gambaran sebenar adalah berbeza jika Maritim melihat sendiri keadaan perairan negara yang sering dicerobohi.
“Dengan adanya kapal induk, mungkin kawasan sempadan dapat dijaga sepenuhnya dan tiada lagi kes pencerobohan yang bukan saja membantu nelayan tempatan, malah kerajaan itu sendiri.
“Buat masa ini memang banyak berlaku pencerobohan sehingga memaksa kami berbahagi dua hasil laut dengan nelayan asing. Tindakan segera memang perlu diambil atau lebih banyak kerugian yang perlu ditanggung,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Bakul Prihatin Nelayan Bachok oleh Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pengkalan Petah, Bachok.
Media sebelum ini melaporkan, pencabulan di perairan negara bukan isu baharu, sebaliknya setiap hari, puluhan bot dari negara jiran sama ada dari Thailand, Vietnam dan China terus rakus mengaut sumber negara di perairan Laut China Selatan.
Kehadiran mereka menyebabkan nelayan tempatan menderita kerana hasil yang akan diperolehi mereka semakin hari semakin berkurangan.
Bukan tiada tangkapan dalam isu ini, tetapi ada juga yang dilepaskan selepas dihulurkan imbuhan.