GEORGETOWN | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang merampas 67 set bubu naga di lima lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika timur laut Pulau Gedong, pada jam 5.10 petang hingga 6.30 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan tersebut dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin OP BENTENG LAUT dan OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.
Menurutnya, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.
“Pemeriksaan di kelima-lima lokasi telah mengesan dan menemukan bubu naga. Kesemua 67 set bubu naga itu dengan anggaran nilai hampir RM8 ribu dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Beliau juga berkata, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.