BACHOK | Semua nelayan kawasan Bachok kehilangan lebih 70 peratus hasil pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan mereka mengeksport hasil laut ke negeri lain.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd Saripudin Ishak, berkata bantuan sara hidup RM300 sebulan oleh kerajaan sememangnya tidak cukup buat nelayan yang terpaksa mengharapkan seratus peratus hasil tangkapan berikutan pergerakan terhad untuk melakukan pekerjaan sampingan lain.
Malah, katanya, mereka juga berdepan denga kesukaran mendapatkan hasil berikutan cuaca di Perairan Laut China Selatan tidak seperti biasa apabila kerap ribut.
“Saya sendiri sebagai nelayan sudah seminggu tidak turun ke laut kerana cuaca tidak mengizinkan sekali gus memberi kesan pendapatan yang teruk, tambahan pula PKP ketika ini.
“Memang semua akui bantuan itu tidak cukup buat nelayan yang mengharapkan sepenuhnya pendapatan daripada menjual hasil laut, tidak seperti orang lain yang mempunyai gaji bulanan.
“Justeru, saya mengharapkan kerajaan mencari jalan lain membantu kami yang cukup terkesan dengan pandemik ini, bukannya sekadar bantuan sara hidup itu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Bakul Prihatin Nelayan Bachok oleh Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pengkalan Petah, Bachok.
Mohd Saripudin berkata, nelayan kini terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain yang memberi bantuan makanan seperti PPIK.
Katanya, kalau dulu ada juga nelayan boleh melakukan kerja sampingan seperti tukang rumah, namun sekarang tidak dapat melakukan demikian susulan PKP.
“Memang sektor nelayan dibenarkan tapi kalau nak harapkan hasil laut memang tidak cukup, tambah pula kami tak boleh eksport ke negeri lain.
“Kalau dapat hasil laut pun memang dapat jual dengan harga murah. Malah kami juga berdepan dengan isu pencerobohan nelayan asing menyababkan tangkapan laut terpaksa berbahagi dua,” katanya.