KUALA LUMPUR | Empat perlumbaan sudah berakhir buat Nur Shazrin Mohamad Latif dan dengan berbaki enam perlumbaan saja lagi, atlet pelayaran wanita negara itu kini berada di tangga ke-17 daripada 44 pelayar di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dalam dua perlumbaan yang berlangsung hari ini, Nur Shazrin menamatkan Perlumbaan 3 di tempat ke-33 sebelum memperbaiki prestasinya pada Perlumbaan 4 dengan berada di tempat ke-14, lapor Berita Harian.
Perlumbaan 3 diungguli Line Flem Hoest dari Norway manakala Silvia Zennaro (Itali) berada di temapt kedua. Berada di tempat ketiga terbaik adalah Anne-Marie Rindom dari Denmark.
Situasi berubah pada Perlumbaan 4 yang menyaksikan Vasileia Karachaliou dari Greece mengungguli saingan dan mengekorinya di tempat kedua adalah Marit Bouwmeester (Belanda). Hoest pula berada di tempat ketiga.
Mengulas mengenai dua perlumbaan di Enoshima Yacht Harbour (EYH) hari ini, atlet berusia 23 tahun, Nur Shazrin berkata: “Perlumbaan hari ini begitu sukar bagi saya, agak berangin dan beralun.
“Namun saya gembira kerana ada peningkatan daripada sudut mengendali bot dan saya perlu lebih banyak belajar lagi. Situasi angin agak sukar untuk dijangka. Apapun saya kena konsisten.”
Semalam, Nur Shazrin yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik bermula cemerlang apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga.
Namun dia gagal mengekalkan momentum apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-25 dalam Perlumbaan 2.