TOKYO | Atlet Olimpik yang memenangi pingat mendapat ‘insentif tambahan’ apabila penganjur berkata, mereka boleh menanggalkan pelitup muka selama 30 saat untuk sesi bergambar di pentas podium.
Pemenang pingat digesa tidak menyalahgunakan kelonggaran peraturan Sukan Olimpik 2020 yang dikenali dengan peraturan ketat susulan pelaksanaan anti coronavirus selepas ia ditangguh setahun sebelum ini.
“Ideanya adalah memberikan kepada atlet yang sudah bertanding, apabila semua yang lain berundur, mereka berpeluang peluang untuk menanggalkan pelitup muka selama 30 saat, berada di pentas untuk sesi bergambar,” kata jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams.
“Saya fikir semua orang menghargai. Pertamanya, risikonya sangat rendah dan kedua, dapat difahami dengan sebaik-baiknya,” katanya dilaporkan Berita Harian.
Atlet berada dalam peraturan untuk memakai pelitup muka kecuali ketika latihan, bertanding, makan, minum ataupun tidur dan mereka perlu menjalani ujian setiap hari. Apabila berada di pentas podium, mereka akan diberikan arahan untuk menanggalkan pelitup muka.
Namun, Adams menggesa atlet tidak menyalahgunakan peraturan dan sentiasa membawa pelitup muka mereka sehinggalah dimaklumkan untuk menanggalkannya.
“Kami membuat satu usaha yang begitu istimewa hari ini untuk mengingatkan semua kumpulan kita dan semua individu yang mereka perlu memakai pelitup muka mereka,” katanya.
“Terdapat perbincangan terperinci dengan orang ramai dan sekiranya kita mendapati mereka melanggar peraturan, kami akan bercakap dengan mereka dan meminta mereka mematuhinya.”
Setakat bulan ini, seramai 153 individu yang mempunyai hubungkait dengan Sukan Olimpik diuji positif dan berdasarkan laporan IOC, sebanyak 85 peratus atlet sudah divaksinasi. – AFP