PUTRAJAYA | Bermula esok, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi akan mengumumkan perkembangan mengenai aktiviti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan media terakhir berkaitan perkembangan penguatkuasaan COVID-19 harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, tugas mengumumkan perkembangan penguatkuasaan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin bin Hussein telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
Menurutnya, seperti yang semua maklum, Hishammuddin telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan COVID-19.
“Sehubungan itu, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP akan diteruskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan),” katanya.
Pastinya netizen akan merindui ‘Pak Long Mail’ dan tertunggu-tunggu corak baju yang dipakai oleh beliau dan aksesori yang terdapat di belakang sebelum ini setiap kali pengumuman dibuat secara langsung juga turut menjadi perhatian warganet.
“Sejak 20 Mac 2020, saya memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dan semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang- undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19 telah dikeluarkan oleh saya setiap hari.
“Sepanjang 1 tahun, 4 bulan dan 6 hari.
Setiap hari juga saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua yang terbabit sepanjang penglibatan beliau bermula dari anggota pentadbiran, kementerian-kementerian terlibat, agensi, frontliners serta rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas dari COVID-19.
“Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat media yang sentiasa melaporkan perkembangan dari masa ke masa,” katanya.