BACHOK | Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab memotong gelang merah jambu dan keluar berkeliaran sehingga menyebarkan virus Covid-19 kepada orang lain.
Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata ini berikutan pihaknya menerima tiga aduan pada minggu lalu, mengenai tindakan memotong gelang kuarantin yang didakwa dilakukan pasangan suami isteri yang juga peniaga di Pasar Jelawat, di sini dan seorang penduduk.
Beliau mendakwa, setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap tiga individu terbabit walaupun dikatakan sudah menyebabkan lebih 60 pelanggan yang mengunjungi di kedainya dijangkiti Covid-19.
“Perkara ini tidak boleh dimaafkan dan sangat mementingkan diri kerana individu terbabit sedar bahawa mereka adalah positif serta perlu menjalani kuarantin kendiri tapi bertindak memotong gelang supaya dapat berniaga dan keluar dari rumah.
“Ini menunjukkan kesedaran orang ramai masih rendah dan oleh kerana orang seperti inilah yang boleh mencetuskan kluster baharu.
“Disebabkan inilah kita menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan semaksimum mungkin supaya tindakan mementingkan diri itu tidak akan diikuti oleh orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Bakul Prihatin Nelayan Bachok dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pengkalan Petah, Bachok.
Pada program itu, seramai 150 nelayan menerima bakul prihatin bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.