KOTA TINGGI | Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah kos membaikpulih beberapa kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat dibadai ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Baginda Tuanku Sultan, menitahkan supaya kerja-kerja pembaikan segera dimulakan membabitkan 13 kediaman ketika ini yang terjejas teruk dalam kejadian berkenaan.
“Saya telah menitahkan 13 rumah yang terjejas teruk ketika ini segera dimulakan kerja-kerja pembaikan supaya kelak penduduk dapat pulang ke kediaman masing-masing,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).
Sultan Ibrahim turut bertitah wakil Baginda, Mejar Cina Datuk David Wong akan turut mendapatkan maklumat terperinci daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi berhubung jumlah keseluruhan kediaman yang terjejas teruk.
Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan berkenan mengemudi sendiri bot laju dari Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar, sebelum berangkat melawat kawasan perkampungan serta kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana alam yang melanda Jumaat lalu.
Baginda Tuanku Sultan turut menyampaikan sumbangan peribadi dan hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hajah Hazlina Jalil dan David Wong.
Sementara itu, David Wong, berkata kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera membabitkan kediaman yang terjejas teruk ketika ini.
“Dari semasa ke semasa, saya akan mendapatkan maklumat daripada Pegawai Daerah (Kota Tinggi) berhubung kediaman-kediaman lain yang turut terjejas, termasuk kerosakan kecil,” katanya.
Penduduk menyifatkan kejadian ribut yang melanda Tanjung Sedili, bagaikan seperti ‘tsunami kecil’ dan yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.
Hujan lebat lebih dua jam bermula kira-kira 3 petang, disusuli ribut dan angin kencang, menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan dan lebih 20 pokok tumbang.