KUALA LUMPUR | Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama United Kingdom Carrier Strike Group 21 (UKCSG 21) telah mengukuhkan kerjasama pertahanan melalui Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan eksesais itu membabitkan tiga aset TLDM iaitu KD Lekiu, KD Jebat dan Helikopter Super Lynx.
“Ketumbukan UKCSG 21 pada kali ini pula terdiri dari empat kapal tentera laut dan beberapa buah pesawat daripada tiga negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda.
“Kapal perang yang terbabit adalah HMS Queen Elizabeth, HMS Kent, USS The Sullivans dan HNLMS Evertsen. Ini adalah pelayaran sulung HMS Queen Elizabeth, sebuah kapal pengangkut pesawat, di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan selain komited terhadap keselamatan maritim dan kerjasama pertahanan negara rantau ini dengan mana-mana tentera laut sahabat, TLDM mengalukan eksesais seperti ini bagi meningkatkan interoperability serta persefahaman di lapangan.
Tamat