KUALA LUMPUR | Sebanyak RM73,525 disumbangkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) untuk bantuan membaiki masjid dan kepada golongan yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu termasuk bantuan
tablet, komputer riba, mesin pencetak dan pek makanan.
Katanya, semalam beliau ke Masjid Qaryah Kampung Rinching Hulu, Semenyih bagi menyerahkan Dana Wakaf Tunai Masjid RM33,000 untuk tujuan membaik pulih bumbung masjid.
“Dana Wakaf Tunai Khas Masjid ini merupakan salah satu produk wakaf YWM yang diwujudkan bagi memenuhi hasrat pewakaf supaya dana yang diwakafkan ini digunakan khusus bagi tujuan pembangunan masjid.
“Menerusi Program Bantuan Dana PERLU, sejumlah RM21,150 diperuntukkan untuk menyediakan pek sumbangan makanan keperluan kepada 423 keluarga.
“Sejumlah RM28,425 disediakan bagi sumbangan tablet, komputer riba dan mesin pencetak ke empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serdang, Kapar; SK Samudra, Batu Caves; SK Batu 9, Cheras; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya dan juga kepada tiga keluarga yang memerlukan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Turut hadir bersama beliau, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin.
Beliau berkata, pemberian tablet kepada pihak sekolah, tablet itu akan dipinjamkan kepada murid yang mengalami kesukaran menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dikenalpasti oleh pihak sekolah.
Katanya, bantuan juga diberikan ke rumah seorang pesakit hydrocephalus yang berusia 11 tahun dan menghidap penyakit ini sejak lahir di Taman Semenyih Impian. Ibunya bekerja sebagai pembantu pustakawan manakala ayahnya bekas anggota tentera yang mengambil pencen awal bagi menjaganya.
“Kesemua penerima sumbangan terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), pengusaha bas, ibu tunggal, institusi pendidikan dan murid-murid sekolah dari kalangan keluarga B40,” katanya.
Untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang Program Dana PELAJAR, org ramai boleh layari ywm.gov.my/wakaf-online dan memilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan untuk berwakaf atau salurkan sumbangan ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD – 8602218186 untuk Program Dana PERLU.