KUALA LUMPUR | Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen, di sini, bersama seorang individu lain semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan sebuah mesej yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @sultanoftasik pada jam 10 pagi tadi, yang memaparkan Ahli Parlimen itu tidak memakai pelitup muka.
Katanya, hasil siasatan dijalankan mendapati Tajuddin menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat semalam.
“Pada hari sama jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama seorang individu lain di ruang legar Parlimen.
“Akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, satu notis kompaun dikeluarkan terhadap beliau pad jam 1 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan penularan jangkitan pandemik COVID-19.