KUALA LUMPUR | Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menerbitkan Buku Daftar Bahan Dan Produk Binaan terkini yang diperakukan di bawah Jadual Keempat Akta 520.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata ia bertujuan untuk memaklumkan kepada penggiat industri untuk mendapatkan dan menggunakan bahan binaan yang telah sah diperakukan seperti yang tersenarai pada Jadual Keempat Akta 520 CIDB.
“Buku daftar bahan binaan ini, memuatkan senarai pengeluar dan pembekal bahan dan produk binaan yang telah memperolehi sijil Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada CIDB dalam tahun 2020.
“Terdapat 90 jenis bahan dan produk binaan daripada 13 kategori bahan binaan yang tersenarai di dalam Jadual Keempat Akta 520 dimuatkan di dalam buku tersebut, termasuk kategori seperti produk besi & keluli, konkrit siap bancuh (ready mixed concrete), simen, aluminium, jubin ceramik (ceramic tiles), bahan penebatan (insulation materials), peralatan kebersihan (sanitary wares) dan lain-lain lagi,” kata kenyataan itu.
Beliau berkata, buku ini diterbitkan sebagai sumber rujukan dan semakan utama kepada penggiat industri pembinaan seperti perunding, pemaju projek, agensi kerajaan dan swasta, kontraktor, pembekal serta pengeluar, seterusnya kepada pengguna.
Ujarnya, ini selaras dengan peranan CIDB dalam memastikan hanya bahan binaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan standard sahaja digunakan untuk projek pembinaan.
“Menurut Akta 520 mana-mana orang yang berurusan atau mengaku janji untuk berurusan dengan bahan binaan yang dinyatakan dalam Jadual Keempat tanpa pemerakuan PPS yang mematuhi syarat keperluan standard daripada CIDB adalah melakukan satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM500,000.
“Sebagai salah satu agensi yang diamanahkan untuk memantau dan menguatkuasakan bahan-bahan binaan di pasaran, CIDB bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran kawasan pembinaan yang selamat dan berkualiti.
“Diharap buku daftar bahan binaan ini akan menyumbang ke arah peningkatan akauntabiliti, integriti serta profesionalisma industri pembinaan di Malaysia dan seterusnya meningkatkan kualiti bahan binaan yang digunakan di dalam kerja-kerja pembinaan keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya, buku daftar bahan binaan ini boleh dimuat turun melalui laman web rasmi CIDB di pautan https://www.cidb.gov.my/ms/maklumat-pembinaan/kualiti/bahan- binaan/pendaftaran-bahan-produk-binaan-dan-pengeluar.
Katanya, selain itu, orang ramai juga boleh menyemak bahan dan pengeluar yang telah diperakukan CIDB secara dalam talian melalui www.ccpm.cidb.gov.my.