GUA MUSANG | Kematian seorang warga emas dari masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar dua hari lalu akibat Covid-19 serta pertambahan kes positif di Kampung Sensang dipercayai berpunca dari luar Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, ekoran itu enam orang disahkan positif, dengan seorang daripadanya meninggal dunia dan 62 keluarga perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Beliau difahamkan jangkitan berkenaan berpunca daripada dua orang suku kaum Temiar yang bekerja di luar Kelantan.
“Seorang daripada mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Higlands.
“Seorang lagi adalah pemandu lori sayur yang di Perak dan Negeri Sembilan kemudiannya kembali semula ke Lojing,” katanya kepada Journal Malaysia, hari ini.
Mohd Syahbuddin berkata, mangsa yang meninggal dunia itu berusia lingkungan 70 tahun dan dijangkiti daripada pemandu lori yang juga ahli keluarganya.
Katanya, mangsa yang menunjukkan gejala itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia.
“Dua lelaki berkenaan yang menjadi punca merebaknya Covid-19 juga menjalani rawatan di hospital sama bersama tiga lagi yang disahkan positif.
“Lima kampung dikenakan kuarantin kendiri dan dipakaikan gelang pink adalah Chekau, Penangau, Lojing, Sensang dan Sendrop,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan pantas Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang yang mengarahkan penduduk di situ kuarantinkan diri.
“Saya juga telah minta semua pemimpin masyarakat dan Tok Batin di lima buah kampung itu agar menghalang sebarang aktiviti pergerakan keluar masuk di kawasan kampung tersebut.
“Pihak kami juga telah menghantar bantuan makan kepada 62 keluarga tersebut bermula semalam,” katanya.