GUA MUSANG | Masyarakat Orang Asli mula rasa takut akan bahaya Covid-19 dan minta kerajaan percepatkan suntikan vaksin jenis CanSino untuk mereka.
Penghulu Pos Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, pada peringkat awal penduduk tidak terlalu memikirkan berkenaan vaksin.
“Disebabkan berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan Orang Asli dan kematian menyebabkan penduduk di sini terutamanya mahukan vaksinasi dipercepatkan.
“Sebelum ini kami tidak bimbang malah tidak tahu tahap keseriusan Covid-19, namun sebaliknya berlaku menyebabkan kami kini berharap agar vaksinasi untuk Orang Asli dipercepatkan,” katanya kepada Journal Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, tahap pendaftaran vaksin dalam kalangan Orang Asli juga semakin meningkat.
“Sebelum Orang Asli sering dimomokkan tentang bahaya vaksin dan kesan vaksin terhadap manusia,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya berharap tidak ada penangguhan suntikan vaksin kepada masyarakat Orang Asli.
Katanya, jika mengikut jadual yang diterima, masyarakat Orang Asli di Gua Musang akan menerima suntikan vaksin jenis CanSino pada Ogos nanti.
“Alhamdulillah kesedaran dalam kalangan Orang Asli wujud selepas kempen bersepadu yang dibuat oleh kami di sini, dan turut dibantu Jabatan Penerangan daerah Gua Musang Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
“Sudah ramai yang sedar akan pentingnya vaksin. Kesedaran ini wujud selepas ada kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat Orang Asli.