KOTA BHARU | Kenderaan yang membawa seorang pegawai dan tiga anggota polis serta dua orang kena tuduh (OKT) berkaitan kes rogol terbabit kemalangan dua kenderaan di Kampung Beta Hulu, berhampiran Surau Haji Ahmad di sini, hari ini.
Kejadian jam 9.40 pagi itu, mereka menaiki van Toyota Hiace dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menuju ke Mahkamah Kota Bharu sebelum berlaku kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.
Akibat kemalangan itu, seorang pegawai polis berusia 32 tahun dan pemandu MPV Toyota Innova yang juga wanita berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu berlaku ketika empat polis itu bersama dua OKT yang menaiki van Toyota Hiace
dalam perjalanan dari IPD Kuala Krai melalui Jalan Kemubu untuk ke Mahkamah Kota Bharu.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, sebuah MPV Toyota Innova secara mengejut telah keluar dari simpang sebelah kiri yang menghala ke Kota Bharu.
“Anggota polis berusia 29 tahun yang memandu van cuba memotong Toyota Innova selepas mendapati tiada kenderaan di lorong bertentangan.
“Dalam masa yang sama, pemandu Toyota Innova dengan tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang sebelah kanan.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu van membrek secara mengejut tetapi terlanggar pada bahagian pintu sebelah kanan hadapan Toyota Innova sebelum kedua-dua kenderaan itu terseret dan terhenti di hadapan sebuah rumah kedai menjual ikan yang di tutup ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu, pegawai polis yang juga penumpang di hadapan cedera di tangan kiri, manakala wanita itu cedera di bahagian kaki kanan.
Menurutnya, mangsa yang lain iaitu tiga anggota polis dan dua OKT tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai aspek untuk menilai punca kemalangan sebenar,” katanya.