PELABUHAN KLANG | Maritim Negeri Selangor telah menemui mayat lelaki dipercayai mangsa jatuh laut lima hari lepas oleh orang awam pada kedudukan sekitar 7.1 batu nautika barat daya Muara Sungai Langat, Selangor lebih kurang jam 12.50 tengah hari semalam.
Timbalan Pengarah Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Norihan bin Ngah berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan, Maritim Selangor menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemui mayat lelaki dalam keadaan terapung.
“Mayat tersebut disyaki Thineswaran Kesavan, 27, nelayan tempatan berasal dari Banting, Selangor yang keluar menangkap ikan bersama rakannya.
“Mangsa dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dengan menggunakan bot jenis pukat hanyut sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.
Norihan berkata, mayat dibawa ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut.
Katanya, pengecaman awal oleh keluarga mangsa mempercayai mayat itu adalah Thineswaran yang dilaporkan hilang di perairan Batu Laut pada 23 Julai lalu.
“Operasi Carikamat ditamatkan pada jam 3.30 petang semalam dan Pos Hadapan Carilamat di Rumah Penginapan Persekutuan Morib juga telah dibubarkan.
“Operasi Carilamat yang diselaras Maritim Malaysia pada hari keempat meliputi keluasan 106 batu nautika persegi dengan menggunakan tujuh bot dan dua pesawat udara dari pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkordinasi operasi Carilamat di laut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti nelayan tempatan yang terlibat dalam operasi pada kali ini.
“Selain itu, orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca.
“Sebarang kecemasan di perairan Selangor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Selangir (03-31760627) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” katanya.