by Nor Shazleza Shahril
MANJUNG | Dua mangsa yang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 7 Jalan Sitiawan-Changkat Cermin, Ayer Tawar, di sini, semalam, dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata mangsa adalah R Ellango, 51, dan S Thavaselvi, 43, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran simpang Kampung Columbia.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata nahas berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika pasangan terbabit menaiki kereta Proton Iswara dari arah Sitiawan menghala ke Ayer Tawar.
“Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas Ellango mengambil isterinya yang bekerja di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan.
“Setiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbakar.
“Kedua-dua mangsa tidak melecur tetapi cedera di kepala, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Fahrulrazhi Zakaria, melalui talian 012-4433441 bagi membantu siasatan.