By Nik Amir
KOTA BHARU | Jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini mengakui resah memikirkan persiapan pasukannya menjelang pertemuan getir menentang PDRM FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada Rabu.
Ia susulan tiga pemainnya mengalami kecederaan ketika bertemu Skuad Projek FAM-MSN dan ia merupakan harga yang mahal perlu dibayar oleh pasukannya setelah berhempas pulas meraih kemenangan 2-1 pada Sabtu lalu.
“Dalam situasi ini bukan senang hendak bermain, jika anda bercakap mengenai bola sepak, kita perlu mempertimbangkan banyak perkara. Saya mempunyai ramai pemain yang cedera, tidak bersedia untuk beraksi pada pertemuan ini dan kemungkinan juga perlawanan akan datang akibat kecederaan serius.
“Sekarang kita menunggu keputusan mengenai kecederaan Jack (Hindle) dan tiga pemain lain terkeluar, saya tidak fikir mereka boleh diturunkan. Secara logik, mengenai kesebelasan utama sudah tentu akan berubah tetapi saya mesti menerapkan sistem atau cara kita bermain tanpa tiga pemain itu,” katanya kepada Journal Malaysia hari ini.
Skuad kendaliannya kini menduduki tangga keempat dengan mengumpul 18 mata manakala PDRM FC berada di kedudukan kelapan dengan mengutip 14 mata.
Biarpun dibelenggu masalah kecederaan pemain, pengendali import dari San Marino itu bagaimanapun tetap memandang positif sambil menjelaskan rombakan terhadap barisan terkuat perlu dilakukan berdasarkan situasi semasa melanda kem pasukannya itu.
“Ini bukan kali pertama saya menukar kesebelasan utama dan semua pemain yang diturunkan, mereka harus bermain dengan cara lebih baik dan faham apa yang saya mahukan.
“Kita mesti fokus untuk 96 minit (bukan 90 minit), untuk itu saya minta pemain menunjukkan aksi terbaik bukan hanya dari segi taktikal dan teknikal tetapi juga mental untuk mengharungi 96 minit itu,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ragini turut mengingatkan anak didiknya lebih berwaspada memandangkan PDRM FC jauh berbeza berbanding ketika Kelantan FC menewaskan kelab berpangkalan di ibu negara itu pada pusingan pertama.
“Saya lihat permainan PDRM FC (ketika menewaskan Kelantan United FC 1-0), mereka beraksi begitu baik sepanjang 80 minit, ada tiga hingga empat pemain sangat bagus dan ia memberi nilai tambah buat pasukan itu.
“PDRM FC sudah tentu bermotivasi tinggi selepas memenangi perlawanan pertama dalam pusingan kedua. Mereka menukar beberapa pemain dan sekarang mula menunjukkan peningkatan prestasi, saya percaya ia satu pertemuan sukar bagi Kelantan FC nanti,” ujarnya lagi.