PUTRAJAYA | Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menawarkan bantuan tunai sebanyak RM3,000 kepada syarikat pengendali pelancongan yang layak.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MOTAC berkata, inisiatif itu dibuat bagi membantu meringankan beban syarikat pengendali pelancongan yang berlesen di bawah kementerian.
“Ia adalah salah satu inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi ( PEMERKASA) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
“Mengambil kira Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H) yang mempunyai lesen inbound di bawah MOTAC yang turut terjejas semasa pandemik COVID-19, kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan bantuan kewangan kepada syarikat MM2H yang berlesen.
“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 697 syarikat MM2H,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya menyeru syarikat yang berlesen dibawah MOTAC untuk mengambil peluang tersebut.
Katanya, syarikat tersebut perlu mengemukakan permohonan kepada kementerian.
“Untuk maklumat lanjut mengenai Syarat Kelayakan PEMERKASA 2021 bagi syarikat MM2H yang berlesen di bawah MOTAC, sila layari laman sesawang rasmi MOTAC di http:/www.motac.gov.my/pemerkasamotac2021 mm2h atau menghubungi Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan.
“Tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Ogos 2021 dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan,” katanya.