PASIR PUTEH | Seramai 1,800 penduduk dari 14 kampung dan satu taman yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di sini, menerima bantuan bakul makanan.
Antara kampung yang terbabit dengan PKPD termasuk Mukim Bukit Jawa melibatkan Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar Kampung Bukit Bidang dan Kampung Bukit Merbau.
Manakala, Mukim Bukit Abal membabitkan Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, untuk bantuan itu kerajaan negeri memperuntukan RM180,000 di bawah Tabung Serambi Mekah
Katanya, satu bakul yang diberikan kepada satu keluarga bernilai RM100.
“Pengagihan bakul makanan di kawasan PKPD berkenaan adalah paling besar setakat ini dengan jumlah 1,800 keluarga berbanding PKPD di lokasi lain sebelum ini.
“Setakat ini, lebih 14,000 penerima bakul makanan di semua lokasi PKPD sebelum ini dengan jumlah RM1.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di sini, hari ini.