by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Sebanyak 31 lokaliti di Sabah dan beberapa lokaliti di Kelantan dan Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 30 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata PKPD perlu dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai risiko serta trend jangkitan COVID-19.
“Semua prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.
“Di Sabah lokaliti dikenakan PKPD adalah di daerah Tuaran, Sandakan, Penampang, Tawau, Kinabatangan, Tenom, Putatan, Kota Marudu, Kudat dan Papar.
“Sementara itu di lokaliti di Kelantan ialah di enam kampung Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Cekau, Kampung Jedip WCT, Kampung Seng Sang, Kampung Lojing, Kampung Sendrop dan Kampung Penangau.
“Lokaliti di Pahang pula membabitkan Taman Amalina Lestari, Mukim Gali, Raub dan Ladang Bukit Berembun, Mukim Keratong, Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, empat lokaliti di Sabah pula akan ditamatkan PKPD seperti yang dijadualkan iaitu pada 29 Julai ini iaitu di Kampung Lubak, Beaufort; Blok 2, Blok 6 & Blok 9, PPR Taman Mesra, Sandakan; Kampung Melamam, Sipitang dan Kampung Landung Ayang, Kudat.
“Sementara PKPD yang perlu dilanjutkan ialah di Blok Angsana dan Blok Sumboi-sumboi, Kg Seberang Benoni, Papar sehingga 12 Ogos ini selepas penilaian kesihatan dilakukan KKM.
“Semalam juga, seramai 330 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP manakala 25 lagi direman akibat ingkar SOP ditetapkan.
“Menerusi operasi pematuhan, sebanyak 52 premis meliputi kilang (10), premiys perniagaan (39) dan tapak pembinaan (3) turut diarahkan tutup serta merta,” katanya.
Sementara itu, menerusi Op Benteng, pihak berkuasa menahan 17 pendatang asing tanpa izin dan merampas 25 kenderaan darat.