KUALA LUMPUR: Untung bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 meningkat 3.2 peratus kepada RM88.97 juta berbanding RM86.23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatannya bagi tempoh dikaji juga meningkat kepada RM196.1 juta berbanding RM179.78 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, Bursa Malaysia mencatat keuntungan bersih berjumlah RM210.4 juta, meningkat 39.4 peratus berbanding RM151 juta untuk tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga meningkat kepada RM428.73 juta berbanding RM330.53 juta.
Untung bersihnya bagi separuh pertama meningkat didorong oleh pendapatan operasi yang tinggi, berkembang 31 peratus kepada RM420.2 juta berbanding RM320.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.Perbelanjaan operasi bagi tempoh itu meningkat 14.9 peratus kepada RM146.1 juta berbanding RM127.1 juta tahun lalu berikutan kos pengurusan kakitangan yang tinggi dan perbelanjaan bagi tanggungjawab sosial korporat.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi kewangan bagi separuh pertama tahun ini adalah pencapaian setengah tahun yang tertinggi pernah direkodkan sejak disenaraikan pada 2005.
Katanya, Bursa Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh untuk berkembang secara mampan dan bertanggungjawab memandangkan ketidaktentuan dalam pasaran sekuriti dan kadar faedah rendah akan terus menarik pelaburan dan perdagangan.
“Sejajar dengan prestasi kukuh ini, membolehkan Bursa Malaysia memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu pihak hospital membeli kelengkapan yang diperlukan bagi merawat pesakit COVID-19.
“Ini adalah tambahan kepada RM3.1 juta yang diperuntukkan di bawah Yayasan Bursa Malaysia bagi membantu komuniti yang terjejas akibat pandemik itu seperti diumumkan 15 Jun lalu,” katanya pada sidang media maya mengumumkan prestasi kewangan syarikat itu hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift.
Lembaga Pengarah Bursa Malaysia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang akan dibayar pada 27 Ogos ini.
Sementara itu, Muhamad Umar berkata, aktiviti dagangan dalam kalangan pelabur runcit kekal kukuh di sebalik ketidaktentuan persekitaran global akibat pandemik COVID-19.
Ini secara tidak langsung, katanya, menyumbang secara ketara kepada prestasi Securities Market.
“Bagi menambahbaik kualiti aktiviti dalam pasaran, kami meletakkan kepentingan pendidikan kewangan secara berterusan bagi mengekalkan minat terhadap pasaran.
“Tambahan pula, terdapat pelbagai langkah bantuan dan insentif diperkenalkan bagi membantu penerbit tersenarai di tengah-tengah suasana yang mencabar,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN.