PUTRAJAYA | Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi tahun 2020 menyusut sebanyak 7.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai tersebut lebih tinggi berbanding kemerosotan KDNK Malaysia dan bukan PKS.
Katanya, nilai KDNK Malaysia mencatat negatif 5.6 peratus dan bukan PKS sebanyak negatif 4.6 peratus.
“Sejak 2004, ini merupakan kali pertama prestasu KDNK PKS lebih rendag berbanding KDNK Malaysia dan bukan PKS.
“Sumbangan KDNK PKS mengecil kepada 38.2 peratus pada tahun 2020 dengan nilai ditambah sebanyak RM512.8 bilion berbanding 38.9 peratus atau RM 553.5 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, KDNK PKS bagi semua sektor merekodkan pertumbuhan negatif pada tahun lalu.
Katanya, nilai ditambah PKS bagi sektor perkhidmatan menyusut 9.2 peratus pada tahun 2020 daripada 75 peratus pada 2019.
“Kemerosotan momentum ini adalah disebabkan oleh penurunan bagi subsektor pedagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus.
“Bagi sektor pembinaan turut merosot 15.4 peratus disumbangkan oleh kejatuhan dalam semua subsektor. Nilai ditambah PKS bagi sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan negatif 2.9 peratus dipengaruhi produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka merosot kepada 13.1 peratus.
“Bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik, produk makanan, minuman serta tembakau mencatatkan pertumbuhan negatif 3.2 peartus dan 2.0 peratus,” katanya.
Menurutnya, nilai ditambah PKS bagi sektor perlombongan dan pengkuarian jatuh 7.1 peratus pada tahun lalu.
“Selain itu, PKS bagi sektor pertanian menyusut 0.3 peartus disebabkan oleh kejatuhan kesemua subsektor kecuali terakan dan pertanian lain yang terus bertumbuh positif,” katanya.