PASIR PUTEH | Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat kerjasama yang erat daripada pelbagai agensi untuk membantu mengagihkan bakul makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan.
Pengarah JKM, Said Sidup berkata, untuk pengagihan pihaknya mendapat kerjasama terbaik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain agensi.
Katanya, JKM sebagai penyelaras memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan terjejas ketika pandemik COVID-19.
“JKM tidak boleh masuk ke kawasan PKPD. Untuk bantuan dari rumah ke rumah terutama di kawasan PKPD, kita dibantu agensi kerajaan yang lain kerana mereka perlu berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE).
“Alhamdulillah, semua pihak membantu dan memberi kerjasama yang baik dalam memastikan bantuan sampai kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Said berkata, JKM sentiasa memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Menerusi bantuan bakul makanan PERMAI seramai 45,000 keluarga yang mendapat bantuan,” katanya.