PUTRAJAYA | Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius insiden pintu-pintu tren LRT Tr44 laluan Kelana Jaya yang terbuka dengan sendiri ketika beroperasi pada 26 Julai Isnin jam 3.00 petang.
Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan bahawa insiden berlaku ketika tren tersebut bergerak di antara stesen LRT Ara Damansara menghala ke stesen LRT Lembah Subang.
Katanya, ketika kejadian, terdapat seramai tujuh orang penumpang di dalam tren tersebut dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pihak APAD telah mengambil tindakan serta merta dengan membuat siasatan dan telah mengarahkan pihak Rapid Rail selaku operator untuk membuat siasatan rapi mengenai insiden ini termasuk memberi laporan Rekod Penyelenggaraan Tren 44 sebelum berlakunya insiden tersebut dengan kadar segera kepada pihak APAD.
“Pihak Rapid Rail perlu mengambil tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang terhadap mana-mana perkhidmatan
kereta api di bawah seliaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ia adalah berpunca dari sistem Door Close Confirmation Unit (DCCU) yang gagal berfungsi secara normal.
Katanya, namun yang demikian, ia adalah terlalu awal untuk menyatakan bahawa punca sebenar adalah kerana kegagalan DCCU tersebut kerana ia juga berkaitan dengan penyelenggaraan dan juga prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tren ketika menghadapi masalah teknikal.
“Pihak Rapid Rail juga diarahkan untuk memberikan laporan Siasatan Awal Insiden dalam masa tujuh hari atau sebelum 2 Ogos ini dan Laporan Siasatan Penuh beserta semua dokumen sokongan dalam masa 21 hari atau pada 16 Ogos.
“Tindakan selanjutnya ke atas pengendali berlesen perkhidmatan kereta api tersebut akan diputuskan setelah laporan lengkap dan maklumat penuh mengenai insiden tersebut diperolehi,” katanya.
Ka Siong berkata, pihak APAD juga akan membuka kertas siasatan bagi kes ini dan ia akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Katanya, di bawah Akta 715, aspek keselamatan merupakan suatu keutamaan dan syarat di bawah lesen pengendali perkhidmatan kereta api.
“Semua pengendali pengangkutan awam darat serta mana-mana orang yang terlibat di dalam perkhidmatan kereta api hendaklah menitikberatkan aspek keselamatan dalam pengendalian perkhidmatan masing-masing.
“MOT dan APAD berasa kesal dengan insiden ini dan tidak akan bertoleransi terhadap sebarang elemen kecuaian dan menegaskan bahawa mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.