KUALA LUMPUR | Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan kepada Kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi pemvaksinan Covid-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, penetapan harga siling berkenaan meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta.
Katanya, penetapan ini amat perlu supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan rakyat.
“Jawatankuasa mengambil maklum bahawa Kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran terbuka bermula pada Ogos depan dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan berkenaan ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat dengan segera.
“PAC mengambil maklum harga untuk pemvaksinan Covid-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berhubung prosiding Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia. Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah hadir di hadapan Jawatankuasa ini untuk kali kedua pada semalam.
Katanya, prosiding berkenaan bermula pada jam 1030 pagi dan berakhir pada jam 1 petang, turut dihadiri Ketua Setiausaha (KSU) MOSTI Datuk lr Dr Siti Hamisah Tapsir, dan Timbalannya Dr Mohd Noor Azman Hassan.
“PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu ini pada 28 Julai 2021 dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Minggu hadapan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan berhubung prosiding yang sama,” katanya.